Pengiklanan & Pertanyaan

projektravel@gmail.com

✈ Selamat Berpuasa Kepada Muslimin & Muslimat !

24 Ogo 2020

PART 2 | MENARIK DI SEKITAR KOTA BHARU, KELANTAN


Hari ke-2 rombongan kami di Kota Bharu menjanjikan lebih banyak aktiviti dan lokasi menarik untuk kami lawati. Ini bermakna, sudah masuk hari ke-3 rombongan media berada di bumi Kelantan.



PERAHU KOLEK, PENGKALAN DATU

Aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh min dan rakan media adalah untuk menaiki Perahu Kolek menyelusuri Sungai Pengkalan Datu yang menjadi salah satu produk pelancongan budaya di negeri Kelantan yang perlu dibanggakan.


Sejarah perahu kolek di Kelantan 🛶

Perahu Kolek merupakan sejenis pengangkutan air yang digunakan oleh masyarakat Melayu di Kelantan untuk menangkap ikan. Ia juga diberi nama sebagai " bukolek" atau perahu berhias. Ianya dikatakan telah dicipta dan didatang khas dari wilayah Pattani di Selatan Thailand dan digunakan oleh nelayan di Kelantan. Perahu kolek merupakan perahu yang mengandungi hiasan lukisan dan hiasan ukiran yang amat unik.

Struktur perahu terdiri daripada Bangau, Caping, Okok, Dayung, Badan Perahu dan Linggi. Hiasan lukisan dan hiasan ukiran yang bermotifkan garisan geometri, flora dan fauna, kaligrafi, naga dan pelaku wayang kulit ditonjolkan pada badan perahu. Hal ini kerana perahu tersebut mendapat pengaruh daripada cerita mitos, lagenda dan simbolik masyarakat Melayu Kelantan. Perahu tersebut juga menggambarkan pengaruh falsafah, kepercayaan, ajaran Islam serta agama Hindu - Buddha dalam masa lalu atas faktor sejarah.


Seni ukiran kayu yang terdapat di Perahu Kolek ini sangat cantik dan dipercayai dibawa dari Pattani, Selatan Thailand. Bayaran untuk menaiki Perahu Kolek ini hanya RM10 seorang dan ia dibuka kepada pengunjung pada setiap hari Sabtu dari jam 8 pagi hingga 2 petang. Pada ketika ini mereka hanya memfokuskan untuk beroperasi pada hari Sabtu sahaja, memandangkan hari itu turut diadakan pasar terapung yang menjadi tumpuan ramai. Jika ada permintaan pada hari lain mereka akan lakukan berdasarkan tempahan.

Pengunjung bukan sahaja berpeluang menaiki Perahu Tradisional ni, malah  dapat menikmati keindahan alam semula jadi dan singgah dibeberapa lokasi menarik sepanjang menyelusuri Sungai Pengkalan Datu yang mengambil masa hampir sejam bermula di Jeti Pasar Terapung Pengkalan Datu.




Antara lokasi menarik yang korang akan lalui sepanjang perjalanan tersebut adalah seperti Masjid Ar-Rahman Pulau Gajah yang tersergah dengan seni pembinaan Islam dan Melayu. Masjid berkenaan terletak di pulau berkenaan yang ada di Sabak. Masjid itu turut menampilkan gabungan hiasan binaan dari empat negara lain iaitu Indonesia, Maghribi, Yaman dan Turki. Selain itu, pengunjung juga dapat melihat rumah api yang paling rendah di dunia di tepi laut di Pantai Senok dan banyak lagi.


Lebih menarik korang juga akan berpeluang untuk singgah di tepi sungai bagi melihat sendiri bagaimana aktiviti penduduk setempat menuai nira nipah, dan mengutip lokan.


Alamat : Cerana Villa Resort,
Lot 261, Jalan Raja Sakti,
Kampung Kota Pengkalan Datu,
Sering 16150, Kota Bharu, Kelantan

RUMAH WARISAN CINA KELANTAN 200 TAHUN

Rumah tradisional ini merupakan rumah tradisional peranakan cina yang telah wujud melebihi 200 tahun dan telah di huni oleh 4 generasi sehingga sekarang. Pemilik rumah ini sekarang ialah Chen Awang bersama isteri beliau Puan Koet Siew Ling. Rumah ini telah dibina sekitar tahun 1880 selepas melanda 'angin besar' di kelantan.


Menurut Puan Koet Siew Ling, rumah ini adalah milik keluarga suaminya dan telah  melalui beberapa transformasi sejak pembinaannya. Rumah ini juga merupakan senibina di atas tiang yang diperbuat daripada kayu cengal dimana teknik pemasangan rumah ini adalah dengan menggunakan teknik pasak.


Alamat : Kampung Sering, Pengkalan Datu,
Kelantan.

PANTAI SENOK (PULAU NAMI MALAYSIA)

Pantai Senok turut digelar sebagai "Pulau Nami Malaysia" kerana keindahannya dengan view lanskapnya yang tak ubah seperti dalam filem terkenal Winter Sonata, dengan deretan pokok rhu yang tinggi dan tersusun indah seakan di Pulau Nami, Korea Selatan. Ribuan pokok rhu pantai atau Casuarina Equsetifolia dan kayu putih (Eucalyptus) telah ditanam di sini sejak tahun 2009 lagi di bawah Program Pemuliharaan Kawasan Pesisir Pantai negeri.



Selain menjadi lokasi yang sangat insta-whorthy, pengunjung juga dapat bersantai mengambil angin pantai dan boleh menikmati hidangan ringan yang dijual oleh beberapa penjaja di sekitar pantai tersebut.

Alamat : Pantai Senok, Tawang Bachok Kelantan.

RESTORAN NASI ULAM CIKGU

Orang kata, kalau datang ke Kelantan tak makan di Restoran Nasi Ulam Cikgu memang tak sah. Restoran Nasi Ulam Cikgu yang kami singgah untuk makan tengahari ni merupakan cawangan dia di Taman Orkid. Nasi dan lauk pauk kat sini memang tidak mengecewakan lah.



Alamat : Restoran Nasi Ulam Cikgu (Taman Orkid)
Taman Orkid, Jalan Padang Tembak, 
Pengkalan Chepa, 16100 Kota Bharu Kelantan

MUZIUM HOBI (Collectables Affairs)

Berkonsepkan pelbagai barangan sama ada moden atau klasik, merupakan muzium Diecast pertama di Malaysia dan muzium hobi mainan pertama di negeri Kelantan. Nama "Collectables Affairs" diberi oleh YBM Tengku Laksamana Kelantan dan YAM Tengku Puan Laksamana Kelantan bagi memperkenalkan jenama program hobi dan koleksi pelbagai benda sebagai satu inisiatif pemangkin pelancongan dalam negeri Kelantan.


Untuk pengetahuan korang, kat sini terdapat lebih 35,000 koleksi barangan moden dan klasik yang dikumpul sebagai hobi dan ada sesetengahnya berupa barangan edisi terhad dan sangat jarang ditemui di dunia.

Koleksi ini merupakan pelbagai model kereta mainan Hot Wheels, koleksi baju-baju t-shirt, barang vintage, dan banyak lagi. Muzium ini juga adalah satu satunya muzium diecast yang pertama di Malaysia dengan lebih 30,000 koleksi kereta diecast.


Muzium yang terletak di Taman Koperatif, Tanjung Chat, Kota Bharu ini dibuka setiap hari kecuali Jumaat dan beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 5.30 petang dengan bayaran masuk dewasa RM15 manakala kanak-kanak RM10 dan group pula RM20 (5-30 orang)

Alamat : Collectables Affairs
Lot 1318, Taman Koperatif,  Jalan Wakaf Mek Zainab, 
Kampung Tg. Chat. 15300 Kota Bharu
No Tel : 09-7441888

AYANG CAFE

Hari terakhir kami di Kota Bharu. Ayang Cafe merupakan satu lagi tempat terbaik yang min nak suggest untuk breakfast. Menu paling popular kat sini adalah "Roti Ayang" dimana ianya sekeping roti tebal lembut yang dibakar, kemudian disapu dengan kaya dan diletakkan telur goyang di atasnya. Menu yang diberi nama 'Roti Ayang' itu dijual dengan harga RM5 di Ayang Cafe yang terletak berhadapan Masjid Diraja Long Yunus, Langgar.


Kafe yang dimiliki Cik Nor Hazelizan Mamat itu menarik pandangan mata kerana penggunaan warna tema merah jambu dan berada redup di bawah pohon yang besar, selain memulakan operasinya dalam suasana dingin seawal 6.00 pagi lagi.


Selain dari Roti Ayang, kafe ini turut menawarkan pelbagai jenis makanan lain termasuk hampir 10 jenis nasi seperti nasi tumpang, nasi dagang, nasi kerabu dan banyak lagi. Apa yang min boleh ceritakan, makan satu memang tak cukup. semuanya sedap-sedap belaka. 

Alamat : Ayang Cafe.
4652, Jalan Masjid Langgar, 
Kampung Langgar, 15200 Kota Bharu, Kelantan

NAIK BECA PUSING BANDAR KOTA BHARU

Selepas bersarapan di Ayang Cafe, kami telah menaiki beca untuk bersiar-siar sekitar bandar Kota Bharu. Antara lokasi yang kami tuju dengan menaiki beca ni adalah Kota Bharu Street Art, Pasar Siti Khadijah dan Gerbang Rehal yang terletak bersebelahan dengan Istana Jahar.


KOTA BHARU STREET ART | Lokasi pertama yang kami tuju adalah Kota Bharu Street Art yang berada di celah-celah bangunan di Medan Ilmu Kota Bharu berhampiran bulatan besar di bandar Kota.



Antara tema yang dapat diselami apabila memandang hasil lukisan ini adalah ‘impian’ dan ‘kebahagiaan’. Di beberapa sudut lain juga terdapat lukisan yang menyampaikan mesej berkaitan isu yang berlaku di negara-negara lain. Namun begitu yang paling menarik sekali adalah mural bentangan permaidani di atas lantai lorong Street Art ini. Memang unik dan sangat instagrammable.

Alamat : Jalan Dato Pati, Bandar Kota Bharu, 
15000 Kota Bharu, Kelantan


PASAR SITI KHADIJAH | Pasar Siti Khadijah merupakan lokasi pelancongan ikonik kepada negeri Kelantan. Ianya dikatakan sebagai syurga membeli-belah untuk para wanita! Bermacam-macam benda yang dijual di Pasar Siti Khadijah ini, dari barangan kraftangan, pakaian, barang kemas, alat solek, barang sulaman, permainan dan banyak lagi lagi.


Bukan itu saja malah pelbagai jenis makanan seperti kuih-muih Kelantan, keropok, dodol, serunding, rempah ratus dan lain-lain juga ada di sini. Harganya sudah tentu murah-murah belaka.

Alamat: Jalan Buluh Kubu, 
15000 Kota Bharu, Kelantan

GERBANG REHAL | Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail Petra atau #MenaraRehal Kota Bharu merupakan mercu tanda kepada bandar Kota Bharu. Pintu gerbang itu terletak bersebelahan dengan Istana Jahar dan kawasan monumen sejarah lain seperti seperti Masjid Muhammadi, Kampung Kraftangan, Istana Balai Besar, Bank Kerapu, Muzium Islam dan Bank Pitis.


Lokasi lain yang patut anda sekeluarga lawati juga kalau ke kota ini adalah seperti Muzium Diraja, Masjid Muhammadi dan Kampung Kraftangan.

Alamat : D1, Bandar Kota Bharu, 
15000 Kota Bharu, Kelantan

Tambang yang dikenakan untuk menaiki beca ni hanya sekitar RM5 hingga RM10 bergantung kepada jarak destinasi yang korang nak tuju. Jangan risau beca di Kelantan ini semuanya mempunyai enjin dan tak memerlukan kudrat kayuhan yang kuat untuk menggerakkannya.


Catatan blog ini dapat diwujudkan menerusi program 
Ekspresi Media Kelantan 2020
Anjuran Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Kelantan 2020 (TMK2020)
pada 16-20 Julai 2020, di Dabong, Tumpat & Kota Bharu, Kelantan

1 ulasan:
Write comments


✈ Terima kasih kerana menjadikan Projek Travel sebagai sumber rujukan travel anda. Sebarang maklum balas sila tinggalkan di ruangan komen atau email kepada kami di projektravel@gmail.com
✈ Jom ramai-ramai follow update Projek Travel di twitter ! - https://twitter.com/ProjekTravel
Subscribe Projek Travel !