Pengiklanan & Pertanyaan

projektravel@gmail.com

✈ Selamat Tahun Baru 2020 ! Happy New Year 2020 !

15 Feb 2020

5 SALAH ANGGAP KETIKA MELANCONG DI NEW ZEALAND

Melancong dapat mencipta pelbagai momen indah dan memori yang mampu mengubah kehidupan seseorang. Bagi sesetengah orang, terutamanya mereka yang mempunyai jadual padat setiap hari, kesempatan untuk melancong merupakan satu peluang keemasan apatah lagi jika ke destinasi yang menakjubkan seperti New Zealand.

Jika anda bercadang untuk melancong ke New Zealand tetapi masih bimbang mengenai beberapa perkara yang sering dikaitkan dengan negara tersebut, Tourism New Zealand telah merungkai beberapa salah tanggapan yang pasti dapat meyakinkan anda untuk segera menaiki penerbangan ke New Zealand.

1. Sukar untuk bergerak ke sesuatu tempat di New Zealand.


Kepelbagaian landskap di New Zealand daripada pantai berpasir ke puncak alpine mungkin menimbulkan anggapan bahawa terdapat kesukaran untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Namun hakikatnya, New Zealand mempunyai sistem pengangkutan awam yang bersepadu, terutamanya di bandar-bandar besar seperti Auckland dan Wellington. Anda boleh menggunakan kad prabayar seperti AT HOP dan Snapper yang boleh dibeli dengan mudah melalui dalam talian atau di kedai serbaguna dan terminal, untuk menaiki semua pengangkutan awam daripada kereta api ke feri, dengan hanya menggunakan satu kad. Tidak perlu risau tentang masa dan kos kerana kekerapan kebanyakkan pengangkutan awam di New Zealand adalah setiap 10 minit dan lebih murah untuk menggunakan kad daripada membayar secara tunai.

Pilihan lain untuk mendapatkan pengalaman yang lebih holistik di negara ini adalah dengan menaiki kereta api TransAlpine. Pengangkutan antara bandar ini menjanjikan perjalanan dengan pemandangan yang sangat memukau di hemisfera selatan.

2. Aktiviti ekstrem adalah segalanya tentang New Zealand.


New Zealand terkenal dengan pelbagai aktiviti mencabar yang tidak harus dilepaskan. Namun, negara ini juga mempunyai pelbagai lagi tawaran menarik, bukan hanya aktiviti yang merangsang adrenalin. Selain daripada pengalaman yang mendebarkan seperti Skydiving Taupo, dimana anda berpeluang melakukan terjunan bebas pada kelajuan 200km/j, anda juga boleh berehat dan memanjakan diri dengan merendam dalam kolam air panas semulajadi di Tekapo Springs yang terletak di Pulau Selatan sambil mengamati gemerlapan taburan bintang di salah satu langit malam yang paling cerah di dunia.

Satu lagi pengalaman menarik untuk dicuba adalah melawat Kilang Coklat Wellington dan melihat proses pembuatan coklat daripada kacang ke bar disebalik cermin kaca. Anda juga boleh menempah sesi lawatan untuk lebih menghayati proses tersebut sambil merasai hampir setiap coklat yang dihasilkan.

3. Cuaca sejuk melampau.


Terletak di hemisfera selatan, New Zealand mempunyai iklim yang berbeza daripada negara lain iaitu musim panas menjelang akhir tahun dan musim sejuk pada pertengahan tahun.

Meskipun bahagian paling utara mempunyai iklim subtropika semasa musim panas dan suhu di kawasan pedalaman alpine di Pulau Selatan pula boleh mencecah sehingga negatif 10 darjah Celsius (14 darjah Fahrenheit) pada musim sejuk, sebahagian besar daratan negara ini terletak berhampiran dengan laut yang mempunyai suhu sederhana. Purata suhu di New Zealand semakin menurun apabila menuju ke bahagian selatan. Januari dan Februari adalah bulan yang paling panas, manakala Julai adalah bulan yang paling sejuk. Bagi rakyat Malaysia yang sudah biasa dengan iklim tropika, anda disarankan untuk membawa baju sejuk atau memakai beberapa lapisan pakaian semasa musim luruh dan musim sejuk. Pada musim bunga dan musim panas, kebanyakkan penduduk tempatan (Kiwi) gemar menikmati sinaran matahari dengan melakukan aktiviti luar seperti berkayak sambil melihat ikan lumba-lumba dan anjing laut di Kaikoura atau menghirup udara segar di Central Park, Wellington.

4. Pilihan makanan yang terhad.


Dikurniakan dengan keindahan alam semula jadi, New Zealand menawarkan seleksi makanan laut yang terbaik di dunia. Daripada udang kara ke tiram, restoran makanan laut sangat mudah didapati. Antara yang paling popular adalah Nin's Bin di Kaikoura. Terkenal dengan konsep ikoniknya iaitu gerai makan di tepi pantai, restoran ini menyajikan lebih daripada 5.5 tan udang kara setiap tahun!

Selain daripada hidangan laut, jangan ketinggalan mencuba cara masakan tradisional Maori seperti Hangi, di mana makanan seperti ikan, ayam dan sayuran akar seperti keledek, dimasak di dalam lubang yang digali di tanah. Untuk mencuba makanan tersebut dan mengenali budaya mereka, anda boleh menempah khidmat pemandu pelancong dengan Whakarewarewa the Living Maori Village beserta makan tengahari tradisional Hangi dan pertunjukan budaya Maori.

5.  Jarak perjalanan yang jauh antara sesuatu tempat.


Dua pulau utama di New Zealand terletak di wilayah barat daya Lautan Pasifik. Walaupun New Zealand terletak di kedudukan paling selatan dunia, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Auckland menaiki Malaysia Airlines hanya mengambil masa lebih kurang 10 jam. Sekiranya anda ingin menerokai kedua-dua pulau di New Zealand, anda pasti boleh – hanya sekitar satu jam setengah bagi penerbangan dari Christchurch di Pulau Selatan ke bandar-bandar utama yang terletak di Wellington dan Auckland di Pulau Utara.

1 ulasan:
Write comments
  1. NZ memang best. Cantik sightseeing. Pernah pergi dan rasa nak pegi lagi. hehe.

    BalasPadam


✈ Terima kasih kerana menjadikan Projek Travel sebagai sumber rujukan travel anda. Sebarang maklum balas sila tinggalkan di ruangan komen atau email kepada kami di projektravel@gmail.com
✈ Jom ramai-ramai follow update Projek Travel di twitter ! - https://twitter.com/ProjekTravel
Subscribe Projek Travel !