Pengiklanan & Pertanyaan

projektravel@gmail.com

✈ We share the moment. We share the tips. We share to add value to people.

13 Jun 2017

9 ADAB MENJADI TETAMU RUMAH TERBUKA HARI RAYA

9 ADAB MENJADI TETAMU RUMAH TERBUKA HARI RAYA | Apabila tibanya hari raya, amalan kunjung mengunjung telah menjadi satu tradisi sihat di dalam budaya kita di Malaysia. Bukan sahaja pada hari raya yang di sambut oleh umat islam, malah tahun baru cina, deepavali dan perayaan-perayaan lain juga.


Rasulullah ﷺ sendiri menunjukkan kepada kita contoh mengenai keindahan dalam hubungan kemasyarakatan. Sikap keterbukaan Baginda ﷺ sangat terserlah dengan sering menziarahi ahli keluarga dan jiran berlainan agama apabila ada kematian, menghadiri jamuan makan mereka dan menziarahi orang sakit.

Allah سبحانه وتعالى berfirman:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُواۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya KAMI menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan KAMI menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” (Surah Al-Hujurat; Ayat 13).

Jadi, sebelum kita menjadi tetamu di mana-mana rumah terbuka di hari raya ini, eloklah kita mengambil berat tentang beberapa hal tersebut. Sebagai peringatan bersama, kami dari team projek travel ingin kongsikan 9 ADAB MENJADI TETAMU RUMAH TERBUKA HARI RAYA.

1# BETULKAN NIAT DAN TUJUAN

Hal pertama yang perlu dititik beratkan adalah berkaitan dengan niat dan tujuan. Sepertimana yang kita ketahui, memenuhi undangan adalah baik dalam kehidupan bermasyarakat kerana dapat mengeratkan hubungan sillaturrahim, saling bermaaf-maafan sesama rakan, jiran dan keluarga. Cuba elakkan dari menghadiri atau menziarahi rumah terbuka dengan niat dan tujuan seperti untuk menonjolkan diri dengan menunjuk-nunjuk (memperagakan pakaian cantik atau barangan kemas dan mahal yang dipakai). 

2# MEMATUHI MASA

Perkara kedua adalah berkaitan dengan masa. Hadirlah pada waktu yang tepat dan patuhilah masa yang sudah ditetapkan oleh pihak tuan rumah. Elakkan untuk hadir terlalu awal atau terlalu lewat dari masa yang sepatutnya.

3# MENJAGA AURAT LELAKI DAN WANITA

Hal seterusnya adalah berkaitan dengan Aurat. Pakailah pakaian yang bersesuaian dan selesa. Elakkan dari memakai pakaian yang tidak menutup aurat, menjolok mata sehingga mengundang perasaan tidak selesa tuan rumah dan para tetamu yang lain. Dan satu perkara lagi yang harus diingatkan, bagi yang bukan mahram dilarang sama sekali untuk kita bersalaman.

4# HORMATI TUAN RUMAH

Ketika sampai ke majlis rumah terbuka, berilah salam kepada tuan rumah dengan penuh hormat dan mintalah izin untuk masuk ambal menghulurkan tangan kepadanya untuk bersalaman serta bertanya khabar. Begitu juga apabila pulang nanti, janganlah terus pergi begitu sahaja, bertemulah tuan rumah terlebih dahulu untuk meminta izin berundur dan bagi mengucapkan terima kasih atas jemputan dan hidangan yang disediakan serta mendoakannya supaya murah rezeki dan diberkati usia mereka sekeluarga.

5# JAGA AKHLAK DAN TINGKAH LAKU

Akhlak dan tingkah laku haruslah dijaga semasa berada di majlis rumah terbuka. Sewajarnya dielakkan daripada bersikap bangga diri dan bersikap menunjuk-nunjuk, sombong, riyak, dan takabbur. Rendahkanlah suara ketika bercakap agar tidak menganggu perbualan tetamu yang lain. Di samping itu kawallah pandangan mata semasa berkunjung ke rumah terbuka. Janganlah pula melilau-lilau memandang dan meneroka rumah tuan rumah ikut sesuka hati sahaja sehingga ke bilik tidur mereka. Peliharalah diri daripada perlakuan dan tindakan yang tidak baik sewaktu menziarahi kerana perbuatan tersebut boleh mengganggu ketenteraman atau tidak disenangi oleh tuan rumah.

6# JAGA ADAB MAKAN

Setiap kali menghadiri rumah terbuka, sudah pasti akan ada pelbagai juadah yang disediakan oleh tuan rumah untuk para tetamu yang hadir. Adab makan perlu dijaga dan janganlah makan secara berlebihan. Ambil apa yang anda rasa perlu sahaja dalam kuantiti yang sedikit. Elakkan dari membazir kerana membazir itu adalah amalan syaitan. Sekiranya anda mempunyai penyakit dan alahan, makanlah makanan yang sihat dan tidak melanggar pantang.

7# JANGAN MENGUMPAT

Elakkan dari menjadikan rumah terbuka sebagai tempat untuk berkumpul dan mengumpat tentang hal orang lain. Selepas pulang dari rumah terbuka pula janganlah membanding-bandingkan kelebihan dan kekurangan setiap rumah yang dikunjungi. Sama ada dari segi layanan, kemewahan, perhiasan atau makanan yang dihidangkan. Namun sebagai tetamu, kita haruslah bersyukur dengan apa yang tuan rumah sediakan.

8# UTAMAKAN SOLAT

Ketika sibuk menghadiri majlis-majlis rumah terbuka, janganlah sehingga melalaikan untuk menunaikan solat 5 waktu. Singgahlah terlebih dahulu di masjid/surau berhampiran setelah masuk waktu solat. Ini akan memudahkan urusan perjalanan dan masa kita akan lebih diberkati Allah.

Rasulullah ﷺ menjelaskan dalam hadisnya: “Sesiapa meninggalkannya (solat), maka sesungguhnya ia telah kufur (mengerjakan perbuatan orang kafir).” (Riwayat Ibnu Hibban; At-Targhib 1:348).

9# PENDEKKAN TEMPOH ZIARAH

Elakkan dari duduk terlalu lama ketika berkunjung ke rumah terbuka, hinggakan tuan rumah berasa tidak selesa lebih-lebih lagi pada hari itu ramai tetamu yang hadir dan tempat terhad.

Demikianlah perkongsian 9 ADAB MENJADI TETAMU RUMAH TERBUKA HARI RAYA. Apa yang penting ialah kunjungan dan kehadiran kita di majlis rumah terbuka akan menggembirakan tuan rumah dan sebagai satu jambatan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita selain mencari keberkatan, pahala dan keredhaan ALLAH SWT pada hari yang penuh mulia ini.

Artikel Asal : shafiqolbu.wordpress.com

Tiada ulasan:
Write comments


✈ Terima kasih kerana menjadikan Projek Travel sebagai sumber rujukan travel anda. Sebarang maklum balas sila tinggalkan di ruangan komen atau email kepada kami di projektravel@gmail.com
✈ Jom ramai-ramai follow update Projek Travel di twitter ! - https://twitter.com/ProjekTravel
Subscribe Projek Travel !